|
~ I've also read somewhere that you could try to shine a torchlight into the ear and attract the bug to come out... donno which works but at least we have 2 options now?
Salam ukhuwah buat semua. Semoga sihat dan ceria selalu disamping tugasan seharian. Terimakasih kerana sudi berziarah... atau terziarah :) Happy reading~!
|
■Apabila bertemu dengan orang tua, anggaplah mereka lebih mulia daripada kita kerana mereka lebih banyak melakukan ibadat kerana lebih lama hidup berbanding dengan kita
■Apabila bertemu dengan orang alim, anggaplah mereka lebih mulia daripada kita kerana ilmu yang mereka miliki dan pelajari lebih banyak daripada kita
■Apabila bertemu dengan orang jahil, anggaplah mereka lebih mulia daripada kita kerana mereka membuat dosa kerana kejahilan dan kegelapan, tetapi kita membuat dosa dalam keterangan.
■Apabila melihat orang jahat, anggaplah mereka lebih mulia daripada kita kerana mungkin suatu hari nanti dia akan bertaubat dan insaf atas kesalahannya
■Apabila melihat orang kafir, berdoalah di dalam hati agar suatu hari nanti pintu hati mereka akan disinari oleh taufik dan hidayah dengan izin Allah dan segala dosa mereka akan diampuni.
| Jelas, Kaabah bukan sekadar kiblat tetapi juga sebagai pusat tumpuan manusia dalam urusan dunia atau kehidupan. Contoh yang paling mudah sekali, tentu anda ada stesen televisyen berbayar iaitu Astro. Pastinya setiap Astro ada 'piring para bola' untuk menerima maklumat yang dipancarkan dari satelit. Untuk mendapatkan siaran yang jelas, piring itu akan dihalakan ke arah Kiblat atau Kaabah. Kalau tidak percaya cuba tengok balik piring Astro di bumbung anda menghadap ke mana? KENAPA BEGITU? Mudah saja jawapannya Mekah adalah pusat bumi. Sama ada percaya atau tidak jawapannya mudah ditemui semasa kali pertama Neil Armstrong menjejakkan kaki ke bulan pada 20 Julai 1969. Di dalam satu temu bual di stesen TV Al Majid, Arab Saudi, Dr. Abd Al-Baset Al-Sayyed dari pusat Penyelidikan Kebangsaan Mesir mengulas, angkawasan pertama itu telah membuktikan, Mekah adalah pusat bumi. Katanya ia telah dibuktikan secara saintifik semasa Neil Armstrong di dalam perjalanan ke bulan. Ketika itu dia berjaya mengesan satu radiasi yang dipancarkan dari bumi. Radiasi itu di dalam gelombang pendek. Situasi itu sesuatu yang pelik dan mereka cuba mencari jawapan dan membuat penelitian. Akhirnya mereka berjaya mengesan bahawa radiasi itu dipancarkan dari Mekah atau secara tepatnya dari Kaabah. "Yang paling mengejutkan radiasi itu bersifat infiniti (tidak berpenghujung). Apabila Armstrong menjejakkan kaki ke Marikh, radiasi itu masih boleh dikesan. Radiasi itu mempunyai sifat yang istimewa dan paling penting ia infiniti. Saya percaya inilah yang menghubungkan Kaabah di bumi dengan Kaabah di alam akhirat. "Bayangkan anda berada di kutub utara dan saya berada di kutub selatan,di tengah-tengah adalah zon keseimbangan magnet atau zon magnetisme sifar dan itulah Mekah. Kalau hendak dibuktikan boleh. bawa kompas ke Kaabah dan anda dapati jarum kompas itu tidak akan bergerak. Ini bermakna Kaabah adalah zon magnetisme sifar. Tarikan untuk ke dua-dua medan adalah sama kuat. Hal sedemikian katanya, turut memberi kesan pada kesihatan dan umur seseorang. Sebab itulah orang yang tinggal di Mekah lebih sihat dan panjang umur. Tekanan graviti yang tertumpu di kawasan itu memberi kesan pada peredaran darah dan pergerakan biologi kehidupan. "Ini telah dibuktikan bahawa ia boleh memberi kesan pada hemoglobin untuk membawa darah yang mengandungi oksigen ke seluruh tusi badan. Bermakna bila anda berada di Mekah, keupayaan darah untuk membawa oksigen ke seluruh tisu badan secara semula jadi jauh lebih baik berbanding tempat lain di dunia ini," jelasnya Pelbagai bukti saintifik dari kajian para saintis juga telah membuktikan bahawa Kaabah berada di "Centre of the earth". Jika anda berkesempatan ke Mekah Al-Mukaramah cuba bawa kompas ke arah Kaabah dan lihat jarum kompas tersebut tidak akan menunjuk mana-mana arah sama Barat, Timur, Selatan atau ke mana-mana arah kerana Kaabah sememangnya berada di pusat atau ditengah-tengah bumi. Neil Amstrong juga mengesahkan fakta ini. Maha Kaya Allah, dengan hanya melakukan Tawaf kesihatan kita akan bertambah baik. Tidak hairanlah jika ramai yang mengetahui rahsia ini sentiasa merindui untuk ke Mekah... Bagi yang bukan Islam kaji-kajilah fakta ini dan anda pasti akan mendapat kebenaran-Nya. Marilah kita belajar ilmu dan mengkaji Islam yang amat indah ini.. |
HALAL bermaksud dibenar dan tidak dilarang oleh Allah. Ia bukan sahaja berkait dengan makanan dan minuman, tetapi juga berkait dengan pakaian, alat-alat perhiasan, kosmetik dan sebagainya. Namun penggunaan istilah HALAL paling kerap digunakan pada makanan dan minuman.
Mengguna atau menikmati makanan dan barangan HALAL adalah tuntutan Allah ke atas manusia terutama kaum muslimin. Allah berfirman di dalam al-Quran;
"Wahai sekalian manusia! makanlah dari apa yang ada di bumi yang HALAL lagi baik, dan janganlah kamu ikut jejak langkah Syaitan; kerana Sesungguhnya Syaitan itu ialah musuh Yang terang nyata bagi kamu". (al-Baqarah: 168)
"Dan makanlah dari rezeki yang telah diberikan Allah kepada kamu, Iaitu yang HALAL lagi baik, dan bertaqwalah kepada Allah Yang kepadanya sahaja kamu beriman". (al-Maidah: 88)
Terdapat riwayat dari Rasulullah s.a.w. yang menegaskan;
طَلَبُ الْحَلاَلِ وَاْجِبٌ عَلَى كُلِّ مُسْلِمٍ
"Menuntut (mencari) yang HALAL adalah wajib ke atas setiap orang Islam".
(Riwayat Imam ad-Dailami dalam Musnad al-Firdaus dari Anas r.a.. Menurut Imam as-Suyuti, hadis ini darjatnya hasan. Lihat; al-Jami' as-Saghier, hadis no. 5270).
طَلَبُ اْلحَلاَلِ جِهَادٌ
"Mencari yang HALAL adalah satu jihad".
(Riwayat Imam al-Qadha'ie dari Ibnu 'Abbas r.a. dan Ibnu Nu'aim dari Ibnu 'Umar. Menurut Imam as-Suyuti, hadis ini dhaif. Lihat; al-Jami' as-Saghier, hadis no. 5273)
Oleh kerana kewujudan makanan dan barang-barang di pasaran bergantung kepada pengeluaran, maka kewujudan syarikat-syarikat yang mengeluarkan makanan dan barang-barang HALAL merupakan tuntutan Syarak. Tuntutan ini tergolong di dalam fardhu Kifayah. Begitu juga, memperniagakan barang-barang HALAL juga merupakan fardhu kifayah.
Dengan kesedaran mengeluar dan memperniagakan barang-barang HALAL, umat Islam akan berupaya mewujudkan pasaran bersekutu sesama mereka yang menawarkan produk makanan dan barangan yang benar-benar bersih dan suci mengikut nilaian Islam iaitu produk makanan dan barangan HALAL.
KONSEP ASAS HALAL DAN HARAM DI DALAM ISLAM
Rasulullah s.a.w. menjelaskan konsep asas HALAL dan haram di dalam Islam dengan sabda baginda;
إنَّ الحَلالَ بَيِّنٌ وَإنَّ الحَرَامَ بَيِّنٌ، وَبَيْنَهُما مُشْتَبِهاتٌ لا يَعْلَمُهُنَّ كَثِيرٌ مِنَ النَّاسِ، فَمَنِ اتَّقَى الشُّبُهاتِ اسْتَبرأ لِدِينِهِ وَعِرْضِهِ، وَمَنْ وَقَعَ في الشُّبُهاتِ وَقَعَ في الحَرَامِ، كالرَّاعي يَرْعَى حَوْلَ الحِمَى يُوشِكُ أنْ يَرْتَعَ فِيهِ، ألاَ وإنَّ لِكُلِّ مَلِكٍ حِمىً، ألاَ وَإنَّ حِمَى اللَّهِ تَعالى مَحَارِمُهُ، ألا وَإنَّ في الجَسَدِ مُضْغَةً إذَا صَلَحَتْ صَلَحَ الجَسَدُ كُلُّهُ، وَإِذَا فَسَدَتْ فَسَدَ الجَسَدُ كُلُّهُ ألاَ وَهِيَ القَلْبُ" (رواه البخاري ومسلم)
Maksudnya; "Sesungguhnya yang HALAL itu jelas dan yang haram itu juga jelas. Namun di antara keduanya ada perkara-perkara yang syubhah (yakni samar-samar antara HALAL dan haram), yang tidak diketahui oleh kebanyakan manusia (sama ada HALAL atau haram). Oleh itu, sesiapa menjaga dirinya dari segala yang syubhah itu, maka sesungguhnya ia memelihara agama dan kehormatan dirinya. Dan sesiapa terjatuh dalam perkara syubhah, kemungkinan ia terjatuh ke dalam yang haram seperti seorang pengembala yang mengembala di sekeliling kawasan larangan, maka dikhuatiri binatang-binatang ternakannya akan masuk (dan makan rumput) di dalam kawasan larangan itu. Ketahuilah! Sesungguhnya bagi setiap raja ada kawasan larangan dan kawasan larangan Allah ialah segala yang diharamkan olehNya. Ketahuilah! Sesungguhnya di dalam jasad manusia ada seketul daging. Jika baik baik seketul daging itu, baiklah seluruh jasad dan jika rosak, maka akan rosaklah seluruh jasad. Ketahuilah! Seketul daging yang aku maksudkan itu ialah hati".
(Hadis ini diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim dari Abi Abdillah an-Nu'man bin Basyir r.a.)
Dari hadis di atas kita dapat mengambil beberapa ketetapan hukum;
1. Yang HALAL dan yang haram adalah jelas di dalam Islam
Penetapan HALAL dan haram di dalam Islam adalah terang dan jelas. Setiap butiran yang HALAL dan yang haram terkandung di dalam al-Quran dan juga as-Sunnah. Oleh demikian, setiap umat Islam wajib merujuk kepada para ulamak yang mengetahui ilmu al-Quran dan as-Sunnah untuk mengetahui apa yang HALAL dan apa yang haram. Lebih utama untuk melakukan rujukan tersebut ialah para pengeluar dan para peniaga kerana kesilapan mereka akan turut membabitkan orang lain dalam menikmati makanan atau barangan yang haram atau tidak HALAL.
Panduan mengenali makanan dan barangan HALAL
Menurut ulamak, HALAL atau tidaknya suatu makanan dan barangan itu bergantung kepada dua faktor;
a) Zat makanan dan barangan itu sendiri; hendaklah tidak tergolong dalam perkara yang disenarai-haramkan oleh Syarak.
b) Cara pemerolehan makanan dan barangan tersebut. Sekalipun zat suatu barang itu HALAL, namun jika diperolehi dengan jalan riba, penipuan dan sebagainya, maka ia adalah haram di sisi Syarak.
Lebih terperinci, semua makanan dan barangan yang hendak diisytiharkan HALAL hendaklah mempunyai ciri-ciri berikut;
1. Ia tidak mendatangkan mudarat kepada akal dan badan.
2. Ia bebas dari najis
3. Ia bukan produk yang diperolehi dari sumber babi atau anjing.
4. Bagi produk yang diperolehi dari sumber binatang-binatang lain yang HALAL dimakan (khususnya binatang darat) hendaklah dipastikan ianya disembelih mengikut hukum Syarak.
5. Ia diperolehi melalui sumber yang diharuskan.
Oleh demikian, dalam pengeluaran barang-barang HALAL, para pengeluar hendaklah memastikan bahan mentah dan ramuan yang digunakan hendaklah HALAL. Binatang yang HALAL untuk dimakan seperti lembu, kambing dan sebagainya mestilah disembelih mengikut hukum Islam, di mana penyembelihannya itu dilakukan oleh orang Islam dengan memetuhi syarat-syarat penyembelihan yang ditetapkan. Bahan ramuan HALAL tidak boleh bercampur atau menyentuh bahan-bahan haram seperti produk daripada sumber babi atau anjing sewaktu menyimpan, mengangkut, memasak dan menghidangkannya.
Pada tahun 2001 umat Islam di Malaysia dan Indonesia digemparkan dengan berita mengenai enzim babi digunakan dalam pengeluaran bahan penambah perisa MSG. Bahan yang menimbulkan kontroversi itu ialah Bactosoytone iaitu nutrien yang digunakan untuk membiakkan bakteria yang akan digunakan sebagai medium pembiakan ibu dalam proses penapaian. Bactosoytone dihasilkan apabila protein soya diuraikan oleh enzim yang diekstrakkan daripada pankreas babi. Oleh itu, penggunaan Bactosoytone dalam pengeluaran MSG adalah haram kerana ia dihasilkan daripada sumber yang haram.
2. Jauhi yang syubhat
Di persimpangan antara yang HALAL dan yang haram tersebut terdapat yang samar-samar yang belum dipasti statusnya; apakah ianya HALAL atau haram, iaitulah perkara-perkara syubhat. Perkara syubhat ialah perkara yang diragui HALAL-haramnya. Langkah terbaik menurut Rasulullah ialah dengan meninggalkannya. Rasulullah s.a.w. menegaskan dalam hadis di atas; "…sesiapa menjaga dirinya dari segala yang syubhah itu, maka sesungguhnya ia memelihara agama dan kehormatan dirinya. Dan sesiapa terjatuh dalam perkara syubhah, kemungkinan ia terjatuh ke dalam yang haram…".
Sebagai contoh; penggunaan gelatin. Gelatin dihasilkan daripada kulit dan urat binatang seperti babi dan lembu. Namun sekalipun gelatin diperolehi daripada lembu, ini tidak bermakna ianya HALAL kerana kita tidak tahu sama ada lembu tersebut telah disembelih mengikut hukum Islam atau tidak. Di banyak negara bukan Islam, hanya terdapat segelintir rumah sembelihan yang memenuhi keperluan orang Islam. Tambahan pula, kebanyakan makanan bergelatin tidak menyatakan sama ada gelatin yang digunakan itu diperolehi dari sumber babi atau lembu. Jadi, gelatin secara umumnya termasuk dalam perkara syubhat. Oleh demikian, penggunakan bahan bergelatin perlu dielakkan oleh umat Islam kecuali yang benar-benar jelas pengesahan HALALnya oleh pihak yang dapat dipercayai.
3. Kaitan penjagaan HALAL dan haram dengan hati
Dihujung hadis, Rasulullah menyebutkan tentang hati dan pengaruhnya terhadap perlakuan manusia sama ada baik atau buruk. Apa kaitan hati dengan konsep HALAL dan haram yang disebut di awal hadis? Persoalan ini dapat dijelas dengan dua tafsiran;
Pertama; Kesedaran untuk menjaga HALAL dan haram bergantung kepada hati. Hanya orang yang memiliki hati bertakwa dan takutkan Allah akan memerhati makanan atau barangan yang digunanya; apakah HALAL atau haram? Adapun orang yang fasik dan memiliki hati kotor, baginya tidak penting sama ada rezki yang dinikmatinya HALAL atau tidak. Yang penting adalah memenuhi selera dan nafsunya.
Kedua; Bersih dan sucinya hati berkait dengan makanan dan penggunaan barangan yang HALAL. Jika seseorang itu sentiasa melazimi yang HALAL, akan terjagalah hatinya. Akan tetapi jika ia mula terlibat dengan yang haram, akan kotor dan rusaklah hatinya.
GUNAKAN PRODUK YANG BERSIH DAN SUCI
Islam amat mementingkan kebersihan. Kebersihan yang dituntut oleh Islam merangkumi kebersihan lahiriyah dan juga kebersihan rohaniyah. Kebersihan lahiriyah ialah dengan memastikan pakaian dan tubuh-badan sentiasa dalam keadaan bersih terutamanya untuk beribadah. Oleh demikian, umat Islam perlu memastikan produk yang mereka gunakan pada badan mereka sama ada berupa pakaian, minyak wangi, syampu, ubat gigi, kosmetik dan sebagainya dibuat dari bahan-bahan yang bersih dan tidak najis. Kewujudan produk najis di badan menghalang sahnya ibadah di samping pemakainya tidak disukai oleh Allah dan para malaikat. Allah berfirman;
"Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang banyak bertaubat, dan mengasihi orang-orang sentiasa mensucikan diri (dari kekotoran dan najis)". (al-Baqarah: 222)
Allah menjelaskan di dalam ayat di atas bahawa ia menyukai orang yang suka bertaubat dan membersihkan diri. Maka mafhum mukhalafah (yakni pemahaman sebaliknya) dari ayat tersebut ialah; orang yang banyak melakukan dosa dan tidak menjaga dirinya dari najis dan kekotoran, ia akan dibenci oleh Allah.
Dalam sebuah hadis, Rasulullah s.a.w. menegaskan; "Tidak diterima solat tanpa bersuci" (Hadis riwayat Imam Muslim, Tirmizi dan Ibnu Majah). Telah disepakati (atau diijmakkan) oleh para ulamak bahawa bersuci yang menjadi syarat sahnya solat itu merangkumi bersuci dari najis di samping bersuci dari hadas. Oleh demikian, memakai atau membawa produk-produk yang diperbuat dari najis atau yang mempunyai unsur-unsur bahan najis dalamnya akan menyebabkan tidak sahnya solat.
Bersuci batiniyah pula ialah dengan mengelak dari terjerumus dalam dosa termasuk dalam hal makan-minum. Menikmati makanan yang haram atau tidak HALAL merosakkan batin seseorang kerana ia telah melakukan dosa kepada Allah. Dalam sebuah hadis, Rasulullah s.a.w. menegaskan;
أَيـُّمَا عَبْدٍ نَبَتَ لَحْمُهُ مِنَ السُّحْتِ وَالرِّبَا فَالنَّارُ أَوْلَى بـِهِ
"Mana-mana hamba yang tumbuh/membesar daging badannya dari makanan yang haram dan riba, maka api neraka lebih utama baginya".
(Riwayat al-Hafidz Ibnu Mardawaih dari 'Atak dari Ibnu 'Abbas r.a.)
15 MUDARAT DOSA
Salah satu mudarat dosa ialah ia menghalang keluasan rezki sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w.;
إِنَّ الرَّجُلَ لَيُحْرَمُ الرِّزْقَ بـِالذَّنْبِ يُصِيْبُهُ
"Sesungguhnya seseorang itu akan terhalang dari rezki kerana dosa yang dilakukannya". (Riwayat Imam Ahmad, Ibnu Majah, al-Hakim dari Thauban r.a./ Al-Jami' as-Saghir, Imam as-Suyuti, hadis no. 1975.)
Seorang ulama' Islam terkenal iaitu al-'Allamah Ibnul Qayyim al-Jauziyah telah menyenaraikan lebih 15 kemudaratan yang bakal menimpa manusia kerana dosa, iaitu;
1. Kurang mendapat petunjuk dari Allah
2. Rosaknya pandangan dan akal fikiran
3. Terhijab diri dari mengenali kebenaran
4. Hati menjadi rosak
5. Rendah sebutan nama di mata manusia lain
6. Waktu dalam kehidupan menjadi sia-sia
7. Tidak disukai oleh makhluk Allah
8. Hubungan dengan Allah menjadi renggang
9. Doa tidak akan dimakbulkan Allah
10. Hati menjadi keras
11. Tidak ada keberkatan pada rezki dan umur
12. Terhalang dari mendapat ilmu
13. Hidup berterusan dalam keadaan hina-dina
14. Akan dihina dan diperlekehkan oleh musuh
15. Dada sentiasa sempit dan resah
16. Diuji oleh Allah dengan teman dan kawan yang jahat
17. Sentiasa dalam keadaan duka-cita dan kebimbangan
18. Kehidupan dan rezki menjadi sempit
19. Fikiran sentiasa resah dan tidak tenteram
(Rujuk kitab 'al-Fawaid', oleh al-Allamah Ibnul Qayyim al-Jauziyah, hlm. 67)
MELAZIMI YANG HALAL AKAN DIMUSTAJABKAN DOA
Seorang sahabat bernama Saad bin Abi Waqqas r.a. pernah memohon kepada Rasulullah s.a.w.; "Ya Rasulullah! Berdoalah kepada Allah agar aku dimustajabkan doa". Lalu Rasulullah berkata kepadanya;
يا سعد أطب مطعمك تكن مستجاب الدعوة، والذي نفس محمد بيده إن الرجل ليقذف اللقمة الحرام في جوفه ما يتقبل منه أربعين يوماً، وأيّما عبد نبت لحمه من السحت والربا فالنار أولى به (رواه الحافظ ابن مردويه عن عطاء عن ابن عباس).
"Wahai Saad! Perelokkanlah makanan kamu, nescaya kamu akan dimustajabkan doa. Demi Tuhan yang diri Muhammad berada dalam kekuasaanNya, sesungguhnya seorang itu apabila telah menyuapkan sesuap makanan haram ke dalam mulutnya, nescaya tidak akan diterima doanya (oleh Allah) selama 40 hari. Mana-mana hamba yang tumbuh/membesar daging badannya dari makanan yang haram dan riba, maka api neraka lebih utama baginya".
(Riwayat al-Hafidz Ibnu Mardawaih dari 'Atak dari Ibnu 'Abbas r.a.)
Dalam sebuah hadis riwayat Imam Muslim, Rasulullah s.a.w. pernah bercerita tentang seorang lelaki yang kesusahan kerana jauh mengembara, rambutnya kusut-masai dan tubuh-badannya berdebu. Ia memhon kepada Allah dengan menyeru; 'Wahai Tuhanku! Wahai Tuhanku!' sedang makanan (yang dimakan)nya adalah haram, minuman (yang diminum)nya juga haram serta pakaian (yang dipakai)nya juga haram, malah ia diberi makan dengan yang haram, maka bagaimana hendak diperkenankan (oleh Allah) doanya?". (Riwayat Imam Muslim dari Abu Hurairah r.a.)
SIKAP UMAT AKHIR ZAMAN; TIDAK MENGHIRAUKAN HALAL DAN HARAM
Dalam sebuah hadis Rasulullah s.a.w. telah meramalkan keadaan umat akhir zaman yang tidak mengambil berat soal halal dan haram, dosa dan pahala. Baginda bersabda;
ليأتين على الناس زمان لا يبالي المرء بما أخذ المال أمن حلال أم من حرام
"Akan tiba satu zaman di mana seseorang itu tidak menghiraukan dari mana datang hartanya; apakah dari yang HALAL atau dari yang haram".
(Riwayat Imam al-Bukhari dan an-Nasai dari Abu Hurairah r.a.)
DOA RASULULLAH DI WAKTU PAGI
Menurut Ummu Salamah r.a. (salah seorang isteri Nabi s.a.w.); Nabi s.a.w. apabila berada di waktu pagi, baginda akan membaca doa;
اللَّهُمَّ إني أسألُكَ عِلْماً نافعاً، وَرِزْقاً طَيِّباً، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً
"Ya Allah, wahai Tuhanku! Aku memohon dari Engkau ilmu yang bermanfaat, rezki yang baik dan amal yang diterima". (Riwayat Imam Ibnu Majah/Lihat: Al-Azkar, Imam an-Nawawi, bab Ma Yuqalu 'Inda as-Shobah)
Waktu pagi adalah permulaan hidup kita. Pada waktu pagi manusia biasa merancang apa yang hendak dilakukanya pada hari yang bakal ia lalui. Dalam doa di atas, Rasulullah s.a.w. mengajar kita supaya memfokuskan tiga perkara untuk kita capai dalam perjalanan hidup kita seharian, salah satu darinya ialah rezki yang baik iaitu rezki yang bersih dan HALAL serta diberkati Allah.
Doa di atas bukan sahaja perlu dijadikan amalan harian, malah perlu menjadi motivasi kepada para pengeluar, pengusaha dan peniaga muslim untuk lebih menggiatkan usaha mengeluar dan memperniagakan produk-produk HALAL khususnya yang berkait dengan makanan dan barang-barang kegunaan harian kerana usaha tersebut membuka medan seluas-luasnya kepada kaum muslimin untuk dapat menikmati rezki yang baik (yang bersih, HALAL dan diredhai Allah) sehingga tidak ada alasan lagi untuk mereka terlibat dengan yang haram.
Posted by USTAZ AHMAD ADNAN FADZIL
Ijazah Sarjana Muda (Syari'ah) Uni. Al-Azhar (1997). Dipl. Takhassus Fiqh (Pra M.A) INSANIAH-Al-Azhar (2004). Telah menghasilkan lebih 30 buah buku yang diterbitkan. Kini berkhidmat sepenuh masa dengan HPA sebagai S/U Panel Syariah HPA dan Mudir Am MANHAL-HPA.
| |
Terdapat dua ekor itik dan seekor kura-kura yang bersahabat baik tinggal di suatu kawasan yang semakin kering dek kemarau panjang. Binatang-binatang yang bermastautin di situ telah lama meninggalkan tempat tersebut memandangkan semakin hari semakin sukar untuk mendapatkan makanan dan minuman. Semua kolam kering dan tumbuh-tumbuhan semakin kekuningan dimamah sinaran mentari yang hangat membahang.
Disebabkan keadaan semakin mendesak, maka dua ekor itik itupun telah berpakat dan mengambil keputusan untuk berpindah ke kawasan yang lebih lembab dan berair. Kura-kura berasa risau memandangkan sahabat baiknya ingin meninggalkan tempat tersebut. Dengan keadaannya yang bergerak lambat dan tidak boleh terbang seperti mereka, agak mustahil untuk dirinya mengikuti jejak langkah mereka. Maka dia pun berkatalah kepada kedua-dua ekor itik tersebut.
"Kalian hendak berpindah, nanti aku akan mati kekeringan di sini. Aku tidak mampu terbang mengikutimu mencari tempat yang lebih baik. "
"Hmmm.. betul juga kata kamu Si Kura-Kura. Owh, tidak mengapa jika kamu mahu, kami boleh membantu kamu untuk sama-sama berpindah," ujar salah seekor itik tersebut setelah berfikir seketika.
"Bagaimana?" balas kura-kura kembali.
"Kami berdua akan menggigit sebatang kayu dan kamu juga mesti menggigit kayu itu untuk sampai ke destinasi kita dengan selamat. Bagaimana, kamu setuju?" Soal itik.
"Owh, kalau begitu aku setuju," kura-kura memberi persetujuan tanpa berbelah bagi.
Maka terbanglah kedua-dua ekor itik itu mencari tempat tinggal baru bersama kura-kura. Tiba-tiba sedang melalui suatu kawasan, ada beberapa orang budak nakal yang mengejek kura-kura.
"Hei kura-kura! Ada hati nak terbang tinggi. Engkau tu dah memang semulajadinya tidak boleh terbang, ada hati nak terbang tinggi macam itik. "
Kura-kura berasa geram dan marah dengan ejekan tersebut, tetapi dia masih tidak berkata apa-apa kerana dia tahu jika dia membuka mulut pasti dia akan terjatuh.
Kedua-dua itik tersebut terus terbang meninggalkan mereka tanpa mempedulikan ejekan budak-budak itu. Setelah penat terbang mencari destinasi impian, mereka melalui satu lagi kawasan yang dipenuhi dengan budak-budak yang sedang bermain. Mereka begitu kagum dengan keberanian dan kesungguhan kura-kura.
"Kura-kura, kami kagum dengan semangat yang ditunjukkan oleh kamu. Walaupun kamu tidak boleh terbang, tetapi kamu berusaha dengan gigih dan mahu ditolong oleh sahabat-sahabat mu, " jerit mereka kepada kura-kura.
Disebabkan teruja dengan pujian budak-budak tersebut, maka kura-kura pun membuka mulutnya untuk menjawab pujian budak-budak itu.
'ALHAMDULILLAH, aku ingin pergi ke tempat yang lebih baik dan berair bersama itik-itik"
Sebelum sempat menghabiskan kata-katanya, maka jatuhlah kura-kura itu ke atas tanah dan berkecailah badannya.
Begitulah berakhirnya kisah Itik dan Kura-Kura. Apabila dikeji, dihina, kura-kura begitu kuat tetapi kura-kura yang dulu bersemangat kental akhirnya mati menyembah bumi dek kerana sedikit pujian.
Begitu juga dengan kita, kita akan kuat apabila dihina dan diberi pelbagai tohmahan tetapi kita mudah terbuai dengan puji-pujian. Dalam kehidupan ini, kita janganlah cepat lemah dengan kejian, dan cepat riak dengan hanya sedikit pujian.Sebaliknya sentiasa bersyukur dan jadikan setiap kejian, umpatan dan fitnah tersebut sebagai sumber kekuatan kita untuk terus berjaya. Dan jika kita dipuji, janganlah pula berasa riak. Sebaliknya kembalilah segala pujian tersebut kepada-Nya, kerana tanpa keizinan-Nya tidak mungkin kita mampu memiliki apa yang kita usahakan.
Awal pujian adalah lembah kehinaan. Janganlah kita mudah terbuai dengan pujian yang diberikan, kelak kita yang akan binasa.
| Assalamualaikum Hari ini saya ingin kongsikan bagaimana untuk kita mengenal pasti ubat-ubatan yang mengandungi sumber khinzir. Satu cara yang paling penting ialah dengan membaca label pada produk ubat tersebut. Tapi... macam mana kita nak tahu kalau kita tak paham istilah-istilah sains yang sering digunakan pada label ubat? Dalam Bahsa Melayu, perkataan Babi atau Khinzir jelas menggambarkan haiwan berkaki empat ini sama ada daging babi, bulu babi ataupun kulit babi. Tetapi di dalam bahasa Inggeris, kita mungkin terkeliru dengan pelbagai istilah yang digunakan untuk menggambarkan haiwan ini. Contohnya: 1. Pork : Istilah yang digunakan untuk daging babi di dalam masakan. 2. Swine : Istilah yang digunakan untuk keseluruhan kumpulan spesis babi. 3. Pig : Istilah umum untuk seekor babi atau sebenarnya bermaksud babi muda, berat kuran 50kg. 4. Hog : Istilah untuk babi dewasa, berat melebihi 50kg. 5. Porcine : Istilah yang digunakan untuk sesuatu yang berkaitan atau berasal dari babi. Porcine sering digunakan di dalam bidang perubatan untuk menyatakan penggunaan sumber yang berasal dari babi. 6. Boar : Babi liar 7. Sow : Istilah untuk babi betina dewasa yang jarang digunakan. 8. Sow Milk : Susu BAbi dan ada pelbagai istilah lagi... Daripada pelbagai istilah Bahasa Inggeris yang menggambarkan haiwan babi, istilah Porcine sering digunakan dalam bidang perubatan atau label ubat. Mungkin ramai orang Islam yang tidak mengetahui bahawa label yang bertulis "This product contain substance from porcine" bermaksud "Produk ini mengandungi bahan dari babi", atau label yang menyatakan "The source of gelatin capsule is porcine" bermaksud "Kapsul dari gelatin babi". TQ |
Kuasa gusar kini menggelegak murka;
warna kuning diisytihar racun terbisa.
Diragutnya baju-T segeram tenaga
dan diumum itulah busana bahaya.
Tapi, kita jahit semula perca kain,
menjadikannya panji terindah dan tulen.
Warna kuning yang teramat tenang dan syahdu
kita kembalikan damai ke dalam qalbu.
Kini cahaya mentari mungkin diramas
dan sinar kuningnya juga mungkin dicantas.
Memanglah mereka kini peludah warna
sedang menghimpun lendir kahak sebanyaknya.
Kerana nikmat amat lama berkuasa,
kuasa pun seolah menjadi hartanya